Dengan adanya sekolah-sekolah pondok yang akan dijadikan homestay (inap desa), ia dapat menarik lebih ramai `pelancong’ khususnya pelajar dari rantau Asia Tenggara seperti Brunei, Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura dan sebagainya untuk mempelajari ilmu agama di Malaysia.

HASLINA ABDUL HAMID
HASLINA ABDUL HAMID 

Ketua Pengarah ITC, Datuk Seri Abdul Khani Daud berkata, buat masa ini pihaknya sedang mengenal pasti sekolah-sekolah pondok yang terdapat di negara ini dan usaha itu termasuk dalam tujuh segmen yang sedang dalam kajian kementerian berkenaan.

“Kita akan fokus sekolah-sekolah pondok untuk kita promosi para pelajar luar negara ke Malaysia. Kita mahu kenal pasti sekolah pondok yang sesuai untuk dijadikan pusat pelancongan Islam, sekurang-kurangnya adakan homestay (inap desa).

“Kita juga akan adakan program di sekolah pondok supaya orang datang lawat dan belajar ilmu agama, kita boleh tarik pelajar dari Brunei, Thailand, Vietnam, Indonesia, Singapura dan sebagainya,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas perasmian Simposium Mengenai Pelancongan Islam (SIT) 2019 di Hotel Paya Bunga selama dua hari yang disertai 150 peserta di sini hari ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Budaya dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Timbalan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Akil Yusof.

Abdul Khani turut menarik perhatian, pihaknya sedang menggandakan usaha bagi membolehkan Malaysia kembali menguasai tangga teratas sebagai negara Islam yang paling ramai dilawati pelancong.

Katanya, sebelum ini Malaysia menduduki tangga pertama untuk lapan tahun berturut namun pada tahun ini terpaksa berkongsi dengan Indonesia pada kedudukan nombor satu. - UTUSAN ONLINE