Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Pusat akan membantu sekolah agama yang daif supaya sistem pembelajarannya dapat berkembang dengan sistematik.

Menurutnya, pendidikan aga­ma penting kerana ia dapat memenuhi inspirasi pendidikan seimbang untuk melahirkan manusia yang sempurna dengan berlatar belakangkan agama.

“Dalam usaha kerajaan untuk membantu sekolah-sekolah pondok, saya berharap semua pihak ketepikan sebarang perbezaan pegangan politik.

“Atas nama agama, bangsa dan perikemanusiaan, marilah kita ketepikan sebarang perbezaan politik. Kerajaan akan memberikan segala kudrat termasuk dalam soal kewangan untuk membantu sekolah agama ini,” ujarnya.

Berucap merasmikan pelancaran penubuhan Skuad Bomba Pondok (Zon Utara) di Sekolah Menengah Agama Irshadiah Addniah di sini hari ini.

beliau berkata, usaha membela sekolah agama dibuktikan apabila kerajaan membelanjakan RM388 juta untuk kelas Al-Quran dan Far­dhu Ain (Kafa) yang melibatkan 993,000 murid dan 32,000 orang walaupun sepatutnya dibiayai oleh kerajaan negeri.

Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Wan Ibrahim dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Mengenai penubuhan Skuad Bomba Pondok, Ahmad Zahid berkata, penubuhannya ekoran daripada beberapa insiden kebakaran di sekolah pondok dan ada yang berakhir dengan kematian para pelajar.

Menurutnya, antara kes kebakaran sekolah pondok yang menyayat hati yang berlaku pada tahun 1989 di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Khairiah Ah-Halimah Kampung Padang Lumat, Sik, Kedah yang mengorbankan nyawa 27 pelajar.

Beliau berkata, Skuad Bomba Pondok yang dilancarkan hari ini atas inisiatif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia dan akan dikembangkan ke seluruh negara.

Katanya, skuad itu adalah yang pertama di dunia ditubuhkan di sekolah pondok yang berfungsi memberikan bantuan menyelamat jika berlaku kebakaran sebelum ketibaan anggota bomba.

“Kajian terhadap 752 buah sekolah pondok mendapat aspek keselamatan kebakarannya masih rendah.

"Kajian itu mendapati 28 peratus tidak dipasang dengan keselamatan kebakaran, 56.3 peratus tidak pernah mengadakan taklimat keselamatan kebakaran, 63.5 peratus tidak pernah mengadakan latihan kebakaran manakala lima peratus mendakwa pihak bomba tidak memberikan kerjasama untuk pemeriksaan," katanya.