Mahdzir Khalid

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diberikan bertanggungjawab penuh bagi memastikan rancangan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat itu mampu direalisasikan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyebut pusat tahfiz akan didaftarkan melalui Jakim, ketika ini Jakim sedang memperincikan tentang terma-terma yang akan diguna pakai.

“Apabila berdaftar, mudah untuk kita melakukan pemantauan terhadap sekolah-sekolah tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi, 11, semalam selepas seminggu bertarung nyawa di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Sebelum itu, kedua-dua belah kaki mangsa yang bertukar lebam kehitaman dipotong selepas didakwa dipukul beberapa kali dengan paip getah oleh seorang pembantu warden pusat madrasah tahfiz berkenaan.

Sejak dipotong kedua-dua belah kaki, Allahyarham berada dalam ke­adaan kritikal dan koma.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, guru-guru di sekolah persendirian yang mahu melaksanakan hukuman terhadap pelajar termasuk merotan perlulah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan.

Katanya, SOP kementerian tersebut bukan sahaja terpakai ketika melaksanakan hukuman merotan malah turut melibatkan bidang pelaksanaan displin, tanggungjawab dan kebajikan guru-guru serta pelajar.