Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kewujudan sistem persekolahan pelbagai aliran bermula dari peringkat prasekolah sehingga ke sekolah menengah merencatkan agenda perpaduan yang diinginkan.

Katanya, nilai-nilai ilmu se­per­ti bahasa ibunda tetap dihormati kerana Dasar Pendidikan Negara menggalakkan pembelajaran bahasa ibunda, tetapi tidak harus dijadikan bahasa penghantar di peringkat sekolah.

“Bagaimana mahu mewujudkan perpaduan jika Dasar Pendidikan Negara tidak diikuti. Pelajar yang dihantar ke sekolah tahfiz pernahkah berjumpa dengan pelajar sekolah Cina? Tidak pernah. Bila masa berlakunya silang budaya.

“Jika tiada titik per­temuan, maka tidak ada perpaduan negara. Oleh itu sistem pendidikan negara perlu dilihat semula,” katanya semasa sesi soal jawab selepas syarahannya bertajuk Budaya Ilmu Teras Kekuatan Negara dalam Siri Forum Kementerian Dasar Awam Intan 2017, di sini hari ini.

Forum itu dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) setiap tahun dengan men­jemput tokoh-tokoh ternama yang berkongsi wacana ilmu bersama penjawat awam.

Kata Timbalan Perdana Menteri, mungkin sistem sekolah pelbagai aliran boleh diteruskan di peringkat sekolah rendah bagi menggalakkan pembelajaran bahasa ibunda, tetapi tidak di sekolah menengah.

“Mana ada negara dalam dunia yang sistem pendidikannya ada tiga aliran, di Malaysia sahaja ada. Baik betul pemim­pin negara ini (ke­rana benarkan sekolah pelbagai aliran).

“Jika sistem pendidikan tidak mengambil kira soal kepenting­an perpaduan nasional, maka terhasillah masyarakat yang carca marba,” katanya.

Dalam syarahannya, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menitik­beratkan isu pendidikan dan Trans­formasi Nasional 2050 (TN50) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara inisiatif membudayakan ilmu bagi menjadikan Malaysia antara 20 negara terbaik di dunia.

Beliau juga menyeru kakitangan awam membudayakan ilmu bersandarkan emosi, roh dan kebijaksanaan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan benar-benar mengikut keperluan rakyat.