Etnik Rohingya diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, tidak mempunyai asas pendidikan dan apabila dewasa kelak, tidak layak bekerja untuk mencari rezeki bagi menampung kehidupan.

Atas dasar kemanusiaan, Malaysian Relief Agency (MRA) mengambil inisiatif mewujudkan Sekolah Komuniti Rohingya di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur. Sekolah itu beroperasi mengikut silibus Kementerian Pendidikan Malaysia dan kehadiran sekolah itu memberi sinar kepada anak-anak etnik Rohingya.

Bagi Presiden MRA, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik (gambar), kewujudan sekolah ini amat bertepatan untuk membantu anak-anak pelarian Rohingya mendapat pendidikan seawal umur lima hingga 15 tahun. Katanya, sekolah itu dibuka pada tahun 2006 oleh Yayasan Al-Khalifah.

“Kita berhasrat untuk memastikan anak-anak ini mendapat ilmu bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah, termasuk dari segi rohani, agama, kesihatan, keluarga dan kaunseling yang dilihat berpotensi untuk membantu mereka mengenal huruf dan membaca.

“Sejak penubuhan sekolah ini, kita dapat melihat ramai anak-anak etnik Rohingya berjaya. Malah, ada empat murid yang mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lulus semua mata pelajaran yang diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Namun, di sebalik kejayaan beberapa pelajar tersebut, sekolah tersebut masih daif dengan kekurangan tenaga pengajar dan keselesaan seperti di sebuah sekolah.

“Kami tidak mendapat sebarang peruntukan khas daripada kerajaan. Jadi, kami menggunakan wang bantuan yang diberikan daripada badan-badan tertentu bagi meringankan beban MRA menanggung perbelanjaan pelajar.

“Selain menanggung kos sewa rumah kedai tiga tingkat ini, kami juga perlu mencari sumbangan makanan untuk pelajar tersebut setiap hari,” katanya.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 100 anak-anak pelarian Rohingya pernah bersekolah di sekolah itu secara percuma.

Sekolah tersebut mempunyai empat orang guru sepenuh masa. Antara peranan mereka adalah memastikan pelajar berkenaan pandai menulis dan membaca dalam tiga bahasa pengantar iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Myanmar.

Dalam pada itu, kelas agama yang dikendalikan guru agama daripada etnik Rohingya dan kelas sejarah Myanmar turut diberi kepada anak-anak ini bagi memahami lebih dekat sejarah tanah air mereka.

“Terdapat sukarelawan seperti Briged Bakti Malaysia yang turut datang membantu mengajar dan mengadakan program bersama anak-anak ini,” katanya.