Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 2,322 kes buli dilaporkan sejak 2012 hingga Jun lalu.

Menurutnya, malah kanak-kanak seawal usia tujuh tahun turut dikesan telah terlibat dalam kes buli.

“Ini adalah jumlah kes yang dilaporkan. Bagaimana pula kejadian buli yang tidak dilaporkan kepada pihak polis?

“Perkara sebegini sepatutnya perlu dilaporkan terus kepada pihak polis agar siasatan dan tindakan undang-undang dapat diambil serta nasihat kaunseling dapat diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan Kanak-Kanak 2017 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Datuk Mohamed Jumrah, Sungai Sumun di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE