Kewujudan undang-undang ini merupakan inisiatif Residen British Negeri Sembilan, Douglas Graham Campbell melalui Mesyuarat Residen-Residen British di Kuala Lumpur pada Oktober 1908.

Ia bertitik tolak daripada kebimbangan Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Shah yang melihat gejala pelupusan tanah dalam kalangan masyarakat Melayu adalah tanpa kawalan.

British juga khuatir sekiranya gejala ini tidak dibendung dengan segera, kemungkinan pemilikan tanah kaum Melayu di Tanah Melayu untuk jangka masa panjang akan tergugat.

Kenyataan itu dilihat logik sebagaimana berlaku di Singapura dan Pulau Pinang yang didominasikan oleh kaum bukan Melayu.

Dari segi sejarah, penjualan tanah secara besar-besaran telah dilakukan oleh petani Melayu kepada golongan bukan Melayu dan juga syarikat perladangan Eropah sebelum tahun 1908.

Perundangan Tanah Rizab Melayu yang pertama telah dibentuk di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) pada tahun 1913 dan dikenali sebagai Enakmen Rizab Melayu (ERM) 1913.

Enakmen ini kemudiannya digantikan pada tahun 1933 dengan ERM 1933 dan negeri-negeri lain turut memiliki bentuk perundangan yang sama iaitu ERM Kelantan 1930, ERM Kedah 1931, ERM Perlis 1935, ERM Johor 1936 dan ERM Terengganu 1941.

Ciri-ciri khusus ERM adalah melindungi kepentingan Tanah Rizab Melayu seperti sekatan bagi menghalang pemilik-pemilik Melayu melakukan urus niaga seperti pindah milik, gadaian, pajakan kepada bukan Melayu.

Terdapat dua kategori Tanah Rizab Melayu iaitu tanah bermilik individu dan tanah kerajaan namun mana-mana tanah yang dilucutkan statusnya perlu diganti dengan tanah yang mempunyai ciri-ciri sama.

Tanah-tanah kerajaan yang digazetkan Tanah Rizab Melayu boleh dibatalkan statusnya oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui proses pemberimilikan tanah manakala tanah-tanah individu boleh dibatalkan oleh individu sendiri berdasarkan peruntukan Enakmen Rizab Melayu atau oleh Pihak Berkuasa Negeri di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.