ISU kenaikan harga air di beberapa negeri hangat diperkatakan di media massa kebelakangan ini.

Sudah tentu kenaikan ini mendapat bantahan masyarakat kerana bakal mencetus fenomena lain-lain kenaikan seperti harga barangan.

Namun apa yang menjadi persoalan penting ialah mutu perkhidmatan bekalan air itu sendiri.

Adakah ia lebih cekap dan kualiti air yang sampai kepada pengguna selamat digunakan atau sejauh mana perkhidmatan bekalan air bersih ini dapat dikecapi oleh penduduk yang tinggal di perkampungan terpencil.

Walaupun negara bakal menerjah tahun 2020 sebagai sebuah negara maju, namun masih terdapat kawasan-kawasan pedalaman yang belum memperoleh bekalan air bersih, paip air yang telah usang dan berkarat, kualiti air yang dipertikaikan dan sebagainya.

Harga air yang naik wajar diseimbangi dengan kualiti serta mutu perkhidmatan yang baik.

Jangan terlalu mengejar keuntungan tetapi mengabaikan mutu dan kualiti perkhidmatan yang diharapkan rakyat.

Air adalah sumber yang penting dalam kehidupan manusia, justeru pengelolaan dan penyampaian perkhidmatan bekalan air menjadi suatu kemestian dan kewajipan pemerintah.

Peruntukan Persekutuan dan negeri yang disalurkan kepada pihak-pihak dipertanggungjawabkan menguruskan air di sesebuah negeri meningkat dari setahun ke setahun dan mencecah bilion ringgit.

Peruntukan besar ini jika tidak dipantau dan diuruskan dengan berintegriti maka akan mengalir dan tiris sebagaimana paip-paip yang bocor ke poket-poket pihak yang berkepentingan.

Skandal Jabatan Bekalan Air Sabah membuktikan bahawa penyelewengan dalam pengagihan kontrak dan tender pembinaan serta penyenggaraan air berlaku.

Kesannya walaupun beratus juta peruntukan disalurkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air, namun matlamat ini tidak tercapai akibat daripada rasuah dan salah guna kuasa pihak-pihak berwajib.

Sesebuah agensi atau badan yang dipertanggungjawabkan dalam pengurusan air wajar diperkemaskan dan berlandaskan undang-undang, polisi serta peraturan yang ketat.

Kakitangan yang dilantik wajar diterapkan dengan elemen integriti bagi memastikan peruntukan yang besar dapat digunakan sepenuhnya bagi mempertingkatkan kualiti dan perkhidmatan bekalan air secara keseluruhannya.

Masalah catuan pada musim kemarau, bekalan air berkarat, paip bocor, penyenggaraan yang lemah, kecurian air, bekalan air tidak sampai ke sesuatu kawasan dan sebagainya harus diatasi sebelum sesuatu keputusan kenaikan harga tarif air dibuat.

Rasuah dan penyelewengan projek-projek bekalan air wajar dipantau dari semasa ke semasa.

Pemberian projek kepada syarikat-syarikat kroni, tuntutan palsu, projek ali baba dan monopoli projek wajar dikaji dan diatasi menerusi penambahbaikan undang-undang dan peraturan yang ada.

Kerugian yang dialami oleh syarikat atau badan yang dilantik untuk menguruskan perkhidmatan air jika dikaji berpunca daripada kelemahan pengurusan dan penyelewengan.

Oleh itu perbetulkan dahulu struktur dan standard prosedur operasi sebelum menuding jari kepada lain-lain faktor. - UTUSAN ONLINE