Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya menerima laporan sebanyak 34 buah sekolah rendah ditutup dan 31 sekolah dijadikan pusat pemindahan berikutan banjir yang melanda baru-baru ini melibatkan seramai 7,406 murid di Pahang, Terengganu, Johor dan Sarawak.

“JPN perlu bertindak pantas bagi memastikan peralatan dan buku teks yang rosak dapat diganti secepat mungkin dan jika melibatkan kerosakan buku teks akibat ditenggelami air, jabatan sudah boleh buat laporan kepada kementerian untuk persediaan bagi menggantikannya dengan buku teks baharu.

“Penilaian berhubung kerosakan peralatan dan infrastruktur sekolah pula perlu dibuat sebaik sahaja banjir surut,’’ katanya selepas menghadiri perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Pelawat dan melawat Unit Hemodialisis Hospital Kuala Nerang di sini hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja peng­gantian buku dan peralatan yang rosak akan dilakukan sebaik sahaja keadaan banjir pulih bagi memastikan sesi pembelajaran berjalan lancar.

“Hal berkaitan penggantian barangan yang rosak akibat banjir boleh disegerakan tanpa perlu menunggu keadaan reda dan kembali pulih.

“Banjir adalah situasi darurat, maka apabila kita sudah mene­rima laporan lengkap, langkah pembaikan dan penggantian barang yang rosak dapat disegerakan dengan menghantar kontraktor sekali gus pembelajaran tidak terganggu,” katanya.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap memberitahu, semua Jabatan Pendidikan negeri dan sekolah yang terlibat telah sedia maklum mengenai prosedur operasi standard (SOP) apabila berlakunya banjir.

“Laporan kerosakan terutama membabitkan buku teks dapat disediakan segera kerana kebanyakan sekolah menjadikan stor di bahagian bawah sebagai tempat simpanan buku teks dengan ke­semuanya sudah diketahui jenis buku teks,” katanya.