Permintaan itu dibuat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini bagi mengelak berlaku kemalangan di kawasan itu akibat kekeliruan pengguna jalan raya dan laluan yang sempit.

Fadillah berkata, beliau telah dimaklumkan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bahawa pihak PLUS telah pun mengeluarkan tender untuk kontraktor menjalankan kerja-kerja perobohan kedua-dua plaza tol berkenaan.

“Tol berkenaan memang akan dirobohkan selepas kutipannya dimansuhkan, tetapi bila dimulakan itu kita minta PLUS segerakan supaya tiada lagi kekeliruan oleh pengguna lebuh raya yang bertindak memperlahankan kenderaan sekali gus mengundang kemala­ngan.” katanya selepas merasmikan Pusat Penempatan Pekerja untuk sektor pembinaan di Seksyen U4 di sini hari ini.

“Namun, PLUS juga ada prosedur yang perlu dipatuhi seperti proses tender. Apapun kita harap mereka akan dapat segerakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Puat Penempatan Pekerja untuk sektor pembinaan di Seksyen U4 di sini hari ini.

Kutipan tol di kedua-dua plaza berkenaan sejak 15 November 1993 telah ditamatkan bermula 1 Januari lalu iaitu 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi Lebuhraya Utara-Selatan.

Isnin lalu, dua orang maut manakala seorang lagi parah apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar tembok di Plaza Tol Batu Tiga di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.36 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Azki Dahlan Jamit, 21, dan Norsya’Baniah Norhisham, 20.

Pemandu kereta berkenaan, Muhammad Azri Dahalan Jamit, 23, yang juga abang kepada Muhammad Azki pula dirawat di Zon Merah, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang tetapi keadaanya dilaporkan stabil.