NIK SAFIAH KARIM

Tokoh bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, hal ini kerana isu tersebut sudah lama wujud dan dikhuatiri akan mencalarkan identiti negara ini jika tidak dibendung.

“Sudah tiba masanya satu badan baharu diberikan kuasa untuk menangani masalah ini kerana kita mahu negara mempunyai jati diri sendiri yang ditunjukkan melalui bahasa.

“Jika kita sendiri tidak menjaga dan menghormati bahasa kita ini, jadi orang asing atau pelancong asing juga tidak akan menghormati negara kita kerana tidak mempunyai identiti yang jelas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

TEO KOK SEONG
TEO KOK SEONG

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan beberapa pihak untuk melakukan pindaan akta bagi membolehkan DBP mempunyai kuasa untuk mengeluarkan saman serta mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat yang membuat iklan di papan tanda de­ngan menggunakan bahasa asing.

Selain itu, Nik Safiah berkata, penguatkuasaan itu juga haruslah disokong oleh pelbagai pihak bagi menjadikannya lebih berkesan.

“Semua pihak harus turut membantu DBP memartabatkan bahasa kebangsaan dan mempunyai kesedaran mengenai kepen­tingan bahasa kebangsaan ini kepada negara,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kluster Sejarah, Wa­risan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, kuasa pemindaan akta harus diberikan kepada DBP sebagai sebuah agensi perancang bahasa di negara bagi mengambil tindakan atas penyalahgunaan bahasa.

“Wajar dikenakan hukuman denda jika ada yang menggunakan kesalahan bahasa pada papan iklan. Dengan cara ini masyarakat akan lebih prihatin untuk menggunakan bahasa Malaysia dengan baik dan betul.

“Mengikut perundangan, penggunaan bahasa lain dibenarkan seperti Inggeris dan Cina namun perlu ada perbezaan dari segi saiz dan huruf serta warna yang digunakan untuk memberi keutamaan kepada Bahasa Malaysia,” katanya.

Ujarnya, masyarakat perlu memberi citra positif terhadap penggunaan bahasa yang betul dan mengutamakan bahasa Malaysia kerana ia lambang kedaulatan bahasa sebagai bahasa rasmi kebangsaan.