Ini kerana, menurut mereka, pengunjung lain turut tidak selesa dengan asap vape yang dihembus kerana kepulan asapnya adalah berkali ganda lebih banyak berbanding rokok biasa.

Pemilik bersama Cafe Adik Beradik di Jalan Alor Mengkudu, Ihsan Fahmi Ishak, 42, berkata, dia keliru dengan penguatkuasaan berkenaan yang hanya terhad kepada rokok biasa kerana kesan rokok elektronik terhadap persekitaran adalah sama.

“Saya menghadiri taklimat mengenai larangan merokok di premis makanan baru-baru ini, cuma saya keliru apabila penguatkuasaan itu hanya kepada rokok biasa sementara vape bebas dihisap buat masa ini.

“Kita berharap satu undang-undang sama yang melarang penggunaan rokok elektronik segera digubal dan dilaksanakan kerana kita mahukan persekitaran yang bersih dan udara segar lebih-lebih lagi di kedai makan,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Sementara itu, Ihsan Fahmi berkata, dia berasa lega apabila melihat perubahan di restorannya setelah larangan merokok dikuatkuasakan semalam.

“Sebelum ini ramai yang merokok di dalam kedai terutamanya selepas menjamu selera dan apabila ditegur mereka memberi pelbagai alasan seperti kedai saya berkonsep terbuka, banyak pokok dan bermacam-macam lagi.

“Jadi, apabila arahan ini dilaksanakan saya gembira melihat kedai makan kami,” ujarnya.

Bagi seorang pengguna rokok elektronik yang enggan dikenali pula, biarpun larangan hanya kepada rokok biasa namun dia secara peribadi berasa segan untuk menghisap vape di dalam premis makanan.

“Memang kalau ikutkan vape tidak tertakluk kepada penguatkuasaan itu tetapi jika saya seorang sahaja yang menghisapnya pasti nampak pelik kerana rokok itu juga mengeluarkan asap dan akan mengundang perhatian ramai.

“Jadi, buat masa ini saya terpaksa akur juga dengan arahan baharu ini, terpaksalah menahan rasa hendak menghisap vape buat seketika bila di kedai makan,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di beberapa restoran dan gerai makanan di sini mendapati, hari kedua penguatkuasaan larangan merokok semakin baik apabila rata-rata premis tersebut dilihat bebas asap rokok. - UTUSAN ONLINE