Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, peningkatan gaji minimum per­lu dilaksanakan kerana kadar gaji sedia iaitu RM1,100 tidak mencukupi.

Menurut beliau, ini boleh dibuktikan apabila buku panduan perbelanjaan Belanjawanku yang dilancarkan Men­teri Kewangan, Lim Guan Eng menunjukkan kos minimum golongan bujang adalah RM1,870 sebulan.

“MBM hadir ketika pelancaran Belanjawanku Isnin lalu sebagai panel pengulas forum.

“Berdasarkan dapatan tersebut jelas perbelanjaan purata golongan bujang yang kebanyakannya anak muda di kawasan Lembah Klang mengalami defisit atau dalam erti kata lain langsung tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini, hari ini.

Lawatan itu turut disertai 12 pemimpin barisan tertinggi MBM yang bertujuan membentuk kerjasama antara MBM dan Utusan Malaysia.

Turut hadir, Timbalan Presi­den MBM; Muhammad Fadzli Hassan, Presiden Majlis Kelab Belia India Malaysia (MIYC); M. Siva Balan, Presiden Kebangsaan Gepima; Syed Osman Mohamed serta exco-exco MBM.

Utusan pula diwakili Pengarang Utusan Malaysia; Datuk Zulkefli Hamzah dan Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkiflee Bakar.

Mengulas lanjut Jufitri memberitahu, terdapat kira-kira 40 peratus golongan muda di negara ini dengan sebahagian besarnya berada di Lembah Klang atau bandar-bandar besar.

“MBM mendesak kerajaan bersungguh-sungguh menumpukan usaha menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 serta menyediakan pelan kenaikan yang jelas bagi tempoh lima tahun agar rakyat dapat melihat kesungguhan tersebut.

“Kita juga menyambut baik komitmen kerajaan untuk menaikkan gaji minimum sebagaimana yang diikrarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika ucapan pelancaran Belanjawanku dan selaras de­ngan Iltizam Anak Muda dalam mani­festo Pakatan Harapan,” katanya.