Saranan itu disuarakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap pengurusan institusi itu telah merosakkan dan mengkhianati amanah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, dalam hal ini, bukan salah institusi atau penabung tetapi pihak pengurusannya sendiri me­nyalahgunakan kuasa.

“Bukan salah institusi, bukan salah penabung, tetapi pengurusannya yang menyalahgunakan kuasa, merompak harta rakyat. Ia menjadi korup apabila mereka yang bertanggungjawab menggunakan institusi ini untuk tujuan politik dan kepentingan peribadi.

“Diharap tindakan diambil secara tegas dan kita dapat menyelamatkan semula Tabung Haji yang merupakan satu institusi penting dalam negara kita. Kembalikan fokus Tabung Haji demi matlamat asalnya,” katanya selepas Simposium Tahunan Kewangan Islam Ke-4 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Bank Dunia untuk Malaysia, Dr. Firas Raad dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Datuk Dr. Azmi Omar.

Beliau mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengenai Tabung Haji didakwa telah mengeluarkan hibah atau dividen bercanggahan dengan Akta Tabung Haji 1995 sejak 2014.

Kata Mujahid, Seksyen 22 (3a) akta berkenaan menyebut hibah tidak boleh diberikan apabila nilai aset lebih rendah daripada liabiliti dan Tabung Haji perlu menerbitkan keuntungan dalam tahun tersebut.

Laporan kewangan Tabung Haji berakhir 31 Disember 2017 hasil audit firma bebas, PriceWaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan aset Tabung Haji adalah RM70.3 bilion, manakala liabiliti RM74.4 bilion, maka, wujud defisit RM4.1 bilion.