Katanya, dia masih dapat ingat dengan jelas kemalangan pesawat yang dialaminya pada akhir November 2004.

Laura Lazarus
Laura Lazarus ketika tampil dalam program di TVOne, Indonesia.

Ketika itu pesawat Lion Air dengan nombor penerbangan JT538 yang dinaikinya tergelincir ketika mendarat di lapangan terbang Adisumarno Solo.

Akibat daripada kemalangan ngeri itu, 26 orang terbunuh, 55 cedera parah dan 63 cedera ringan.

“Kemalangan itu cukup parah. Di bahagian depan, penumpang, kapten, kru teknikal dan rakan setugas yang duduk disebelah saya meninggal,” kata Lazarus di program Indonesia Lawyers Club (ILC) yang disiarkan TVOne kelmarin.

Namun kata Lazarus, kemalangan di Solo itu bukan yang pertama dialaminya.

Sebelum itu dia juga pernah mengalami kemalangan pesawat di Palembang.

Ketika itu, kata Lazarus, pesawat terbabit terbabas dari landasan dan tayar hadapannya terbenam dalam lumpur.

Uniknya kata Lazarus, kemalangan di Solo juga membabitkan pesawat yang sama dengan nombor siri yang sama.

Namun, kemalangan yang berlaku di Palembang itu tidak sedahsyat di Solo.

Menurut Lazarus, ketika kemalangan di Solo, dia berusia 19 tahun.

Kemalangan itu katanya, menyebabkan dia mengalami kecederaan parah dengan luka-luka hampir di semua bahagian badan.

“Muka saya hancur, dengan keadaan tulang pipi remuk, tangan saya dan pinggang saya patah. Malah kaki saya juga patah dengan sebahagian daripada betis saya putus,” katanya. - IDN TIMES