Yang Dipertua Majlis Perwa­kilan Pelajar (MPP) UPM, Mu­hammad Izzuddin Rosli ber­kongsi kisah sedih yang hanya berpeluang berteduh di bawah pokok tersebut, namun tidak berkesempatan bergambar ke­nangan dengannya akibat kekangan masa.

“Saya bersama empat rakan menjelajah Ladang 16 semata-mata ingin mencari pokok legen­da yang nyata berbeza dengan pokok telinga gajah lain tetapi sewaktu sampai ke situ langit sudah mulai gelap dan tidak sesuai untuk bergambar.

“Bagi saya, untuk sampai ke sana dengan berjalan kaki bukanlah perkara yang mudah kerana perjalanan jauh, namun memikirkan kepuasan untuk bertemu dan mengukir kena­ngan bersama pokok yang menjadi ikon itu digigihkan kaki melangkah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pohon yang penuh kenangan dan menjadi lambang ekonik UPM itu tumbang pada 6 Januari lalu akibat serangan kulat pada akarnya.

Pakar botani  UPM cuba menyelamatkan pokok tersebut sejak tahun lalu, tetapi gagal.
 
Kumpulan pakar UPM yang mula menyedari tanda pokok itu diserang penyakit telah memulihkannya sejak tahun lalu dengan membuat rawatan tanah untuk menggalakkan pertumbuhan pokok.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan daun dan kalus baru gagal mengimbangi kerosakan penyakit yang telah lama menyerang dan merebak dengan kadar yang cepat.

Izzuddin memberitahu, se­tiap pelajar yang menuntut di UPM pasti terdetik untuk mencari dan bergambar dengan pokok legenda itu kerana popularitinya dalam filem Lagenda Budak Setan sehingga mengundang panasaran semua penuntut.

“Saya masih ingat terdapat ukiran nama pada Tree of Life itu kerana semua pengunjung sama ada pelajar atau tidak ingin memberitahu kedatangan mereka ke situ dan berkesempatan bergambar bersama pokok le­genda terbabit,” ujarnya.