Biarpun baru seminggu kejadian menyayat hati itu berlaku sehingga meragut 23 nyawa, dia menyifatkan tragedi berkenaan memberi kekuatan luar biasa ke­padanya untuk reda dengan pe­mergian satu-satunya anak lelaki kesayangannya itu.

Saidah berkata, hatinya turut berasa lapang kerana tidak me­nyimpan sebarang dendam terhadap tujuh suspek yang dipercayai melakukan khianat membakar pusat tahfiz itu dan sudah memaafkan perbuatan mereka.

“Saya telah memaafkan mereka. Saya juga berharap mereka juga dapat memaafkan anak saya sekiranya anak saya merupakan salah seorang yang mengejek remaja-remaja berkenaan sehingga menyebabkan mereka sakit hati lalu bertindak membakar pusat tahfiz itu.

“Sebagai seorang guru, saya tahu masalah pelajar yang telah dibuang sekolah kerana hukuman itu bukan bermaksud untuk memberhentikan terus mereka daripada pergi ke sekolah tetapi bertujuan memulakan kehidupan­ baharu dengan pergi ke sekolah lain. Saya harap ibu bapa mereka termasuk pelajar-pelajar lain se­pertinya sedar perkara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berkongsi perasaan sama, ibu kepada Allahyarham Muhammad Zatullah Roslan, Kamizan Yusof tidak menafikan masih bersedih apabila setiap kali melihat gambar dan cerita-cerita berkaitan arwah di dada akhbar.

Namun katanya, perkara itu tidak melemahkan semangatnya, sebaliknya berasa bertuah dan bersyukur dengan ketentuan Allah SWT yang telah memilih diri­nya untuk melalui ujian tersebut.

Kamizan yang kembali bertu­gas semula semalam selepas bercuti sejak kejadian itu berkata, dia menganggap sekumpulan remaja itu telah ‘didatangkan’ oleh Allah SWT sebagai tiket kepada anaknya yang mesra dipanggil Izzat untuk masuk ke syurga.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi semua ini. Walaupun selepas itu diberitakan kejadian tersebut dipercayai akibat khianat sekumpulan remaja, memang rasa terkejut. Tetapi saya fikir mungkin Allah SWT sudah aturkan perjalanan takdir anak saya.

“Saya tidak simpan dendam kepada mereka. Kalau mereka tidak buat begitu, anak saya tidak masuk syurga. Saya kena berfikir secara positif walaupun ada orang kata suruh mereka itu dibakar hidup-hidup untuk balas dendam, tetapi kalau kita buat begitu sekalipun, ia tidak memberikan apa-apa manfaat pun,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa mereka juga tidak salah kerana tiada mak ayah hendak anak dia menjadi jahat.

Mereka itu mangsa kepada persekitaran dan pengaruh ka­wan-kawan,” ujarnya.