Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, langkah itu sebagai menyahut seruan kerajaan yang mahukan setiap negeri mengadakan tapak kekal untuk usahawan wanita berniaga tahun depan.

“Ketika ini, hanya Terengganu sahaja yang menyediakan tapak kekal iaitu Pasarnita di Tanjung yang menyediakan gerai-gerai bagi golongan wanita menjalankan perniagaan mereka selama tiga hari seminggu.

“Diharapkan negeri-negeri lain dapat mengikut langkah Terengganu menyediakan prasaran tersebut agar sasaran semua ne­geri mempunyai tapak pasarnita mereka sendiri tahun depan tercapai,” katanya kepada pembe­rita selepas merasmikan Program Food [email protected] di Dataran Mara, Shahbandar di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Persatuan Usahawan Trak Terengganu, (T-TRAK) Dr. Norzila Tengah @ Abd Rashid.

Shahrizat berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan tapak kekal pasarnita pertama di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

Sementara itu, Norzila dalam ucapannya berkata, T-TRAK kini mempunyai 23 peniaga dengan 14 daripadanya adalah wanita yang menjalankan perlbagai perniagaan berasaskan makanan dan minuman.

“Untuk lima tahun akan datang, visi kami adalah setiap pengusaha memiliki sekurang-kurangnya dua atau tiga trak pelbagai perniagaan seperti salun, spa, bekam atau apa-apa sahaja bentuk perniagaan perkhidmatan yang memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, perniagaan trak makanan mampu meningkatkan dan memperbaiki ekonomi keluarga. – BERNAMA