Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tan Sri Prof. Dzulkifli Abdul Razak berkata, penerapan ilmu dan pandangan alam yang lebih luas penting untuk 'memanusiakan' masyarakat agar tidak kalah kepada teknologi 'robot' yang tidak mempunyai nilai.

Namun, katanya, sistem pendidikan yang ada sekarang tidak berfungsi mengikut falsafah yang diasaskan dan ia harus ditukar kepada sistem yang lebih baik.

"Kita tidak perlu mencari visi yang baharu kerana Falsadah Pendidikan kita sudah sedia baik untuk menangani apa jua cabaran.

"Namun kita nampaknya tidak menggunakan dan merujuk falsafah itu semasa merancang dan melaksanakan program-program pendidikan.

"Kita seolah tidak diberi ruang untuk membangunkan kreativiti dalam pelbagai bidang sedangkan cendekiawan Islam pada zaman dahulu menguasai banyak bidang dan kepakaran sekali gus," katanya semasa menjadi panelis Forum Revolusi Industri 4.0 (4IR) Impak 4IR Ke Atas Manusia di Dewan Keusahawanan, Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini hari ini.

Forum tersebut yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif MYSUARA, Zainal Mohd Jais itu turut dibarisi Ketua Komunikasi Strategik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Madya Dr Marlia Puteh dan Pengarah Institut Kepintaran Buatan dan Data Raya (AIBIG) UMK, Dr Mohd Saberi Mohamad.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK Prof. Datuk Dr Ibrahim Che Omar. - UTUSAN ONLINE