MUHAMMAD SHA'ANI ABDULLAH

Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCC), Muhammad Sha’ni Abdullah berkata, antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan menambah baik persekitaran restoran, waktu be­kerja dan aspek-aspek kebersihan.

Katanya, perkara tersebut boleh dipertimbangkan oleh pengusaha restoran berikutan peningkatan kadar levi yang perlu ditanggung sekiranya menggaji pekerja luar.

“Selain itu, ia diyakini menjadi satu platform dalam usaha membantu rakyat tempatan mendapatkan pekerjaan kerana ramai dalam kalangan mereka tidak mempunyai pekerjaan yang tetap pada masa ini.

“Jika alasan rakyat tempatan tidak mahu bekerja di situ disebabkan cuaca panas atau tidak selesa, pengusaha perlu tangani perkara itu dengan bijak agar ramai pekerja tempatan boleh ‘makan gaji’ dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, peningkatan kadar levi kepada RM2,500 setiap pekerja warga asing menyebabkan pengusaha restoran tidak dapat menampung pe­ningkatan kos dan kenaikan harga makanan terpaksa dibuat.

Selain itu, beliau memberitahu, pengusaha restoran India Muslim seme­mangnya mengalu-alukan pekerja tempatan malangnya mereka lebih gemar bekerja di restoran-restoran makanan segera yang dilengkapi dengan pendingin hawa berbanding restoran India Muslim yang beroperasi 24 jam.

Tambah Muhammad Sha’ni, pihak kerajaan juga perlu membuat pemantauan ke atas pengusaha restoran India Muslim yang menggunakan khidmat pekerja mereka melebih had sepatutnya.

“Kita percaya khidmat pekerja di situ digunakan secara maksimum. Ada yang perlu bekerja lebih daripada 18 jam dalam masa sehari menyebabkan mereka tidak mendapatkan rehat yang cukup,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) Datuk Mohd. Firdaus Abdullah menyarankan orang ramai untuk memboikot semua restoran India Muslim yang mena­ikkan harga makanan mereka kerana peningkatan kadar levi.

“Masih banyak lagi restoran beroperasi di negara kita yang menawarkan harga berpatutan kepada pengguna. Mereka (pengguna) sudah pandai menilai sendiri mana yang baik atau sebaliknya.

“Saya percaya ini ugutan menyindir pihak tertentu terhadap usaha kerajaan dalam pengubahsuaian Bajet 2016 yang ingin menjadikan ramai pengguna di luar sana marah dengan kepemimpinan negara,” katanya.