MAHDZIR KHALID
MAHDZIR KHALID

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya memandang serius kepentingan penguasaan bahasa Melayu, selain berusaha memantapkan program dan silibus ke arah pemantapan integrasi nasional dalam kala­ngan pelajar sekolah.

Menurutnya, langkah tersebut selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu rakyat Malaysia ter­ma­suk murid sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menguasai bahasa Me­layu de­ngan baik.

“Kita ambil serius perkara ini, yang mana kita mempunyai IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) khusus dalam bidang Bahasa Melayu serta guru yang mengajar subjek Bahasa Me­layu di sekolah kebangsaan (SK), SJK Cina dan Tamil. Selain itu, ada juga program membabitkan kursus se­mula bagi memastikan guru menguasai bahasa tersebut.

“Penguasaan bahasa penting kalau nak cakap soal perpaduan, kalau bahasa (bahasa Melayu) sendiri dah tak boleh nak kuasai, macam mana nak capai benda lain? Langkah pertama dalam memartabatkan negara bangsa dan perpa­duan adalah dengan memastikan 30 juta rakyat Malaysia membabitkan semua kaum boleh menguasai bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Tekai di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai komitmen kerajaan untuk memastikan semua pelajar sekolah SJK Cina dan Tamil mampu me­nguasai bahasa Melayu dengan baik sebagai medium perpaduan.

Dalam pada itu, Mahdzir memberitahu, usaha memperkasakan semangat negara bangsa tidak boleh diletakkan pada bahu orang Melayu sahaja, sebaliknya perlu dipikul bersama semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Semua sekolah terutamanya SJK Cina dan Tamil perlu mempunyai semangat negara bangsa dengan melibatkan diri dalam program-program kenegaraan, na­­mun mereka perlu menguasai bahasa Melayu bagi memboleh­kan integrasi nasional dapat di­semai.

“Tak boleh (orang) Melayu sahaja yang cakap pasal negara bangsa, semua kaum juga perlu. Pihak sekolah harus memainkan peranan di sini dengan melibatkan pelajar-pelajar dengan lebih banyak program dan aktiviti yang melibatkan hal kenegaraan,” ujarnya.