Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Khairi Hassan berkata, tanah itu sebelum ini diwakafkan oleh seorang individu kepada Yayasan Islam Perlis untuk pengembangan Islam seperti pembinaan sekolah.

Katanya, namun disebabkan Yayasan Islam Perlis tidak berkemampuan untuk membangunkan sekolah yang dianggarkan menelan belanja RM30 juta itu, yayasan tersebut telah memberikannya secara percuma kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

"Kebetulan KUIPs memerlukan sebuah kampus tetap, maka kita mengambil keputusan untuk mendirikan bangunan KUIPs di situ (tanah wakaf) secara berperingkat-peringkat.

"Perbincangan mengenainya akan dilakukan dalam mesyuarat MAIPs tidak lama lagi. Buat masa ini, kita masih dalam proses pindah milik dan menunggu kertas kerja daripada pengurusan KUIPs," katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Nadwah Murabbi Ummah Peringkat Negeri di Dewan 2020, di sini hari ini.

Berkenan berangkat ke majlis itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada masa ini, KUIPs yang berada di bawah naungan MAIPs menyewa sebuah bangunan milik majlis agama itu di Sungai Chuchuh, Padang Besar dekat sini dan Seberang Ramai, Kampung Wai, Kuala Perlis di sini.

Menurut Khairi, pada masa sama, MAIPs juga telah membeli sebidang tanah milik Yayasan Islam Perlis di Guar Jentik untuk dijadikan sebagai bangunan KUIPs.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, satu program perintis menghafal al-Quran secara percuma untuk murid-murid berusia antara sembilan sehingga 17 tahun, akan diperkenalkan di tiga buah masjid di setiap Parlimen di negeri ini.

"Program ini akan diadakan pada setiap cuti penggal persekolahan dengan permulaannya pada 19, 20, 21 dan 22 Mac ini," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata, ia akan diperluaskan ke masjid-masjid di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa depan dengan permohonan boleh dilakukan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs). - UTUSAN ONLINE