Menurut laman web etiaseurope.eu, ETIAS bukan seperti visa yang dikeluarkan oleh setiap negara mengikut kes demi kes, tetapi kebenaran yang dibuat secara berpusat dan automatik di kawasan Schengen.

Jelas laman web tersebut, kebenaran ETIAS itu membolehkan rakyat dari negara-negara yang boleh memasuki EU tanpa visa untuk tinggal di kawasan Schengen sehingga 90 hari.

Antara negara yang bakal mengenakan syarat ETIAS adalah Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Czechia (Republik Czech), Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Iceland, Lithuania, Luxembourg, Malta, Monaco, Netherlands, Norway, Poland, Portugal, Romania, San Marino, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland and Vatican City.

ETIAS boleh dilakukan melalui permohonan dalam talian dengan bayaran sebanyak 7 Euro dan dinasihatkan untuk membuat permohonan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum berlepas.

Dalam masa sama, permohonan ETIAS juga mewajibkan setiap pemohon menyatakan sabitan untuk kesalahan jenayah yang serius seperti keganasan, eksploitasi seksual kanak-kanak, pemerdagangan orang mahupun kes dadah, pembunuhan dan rogol. - UTUSAN ONLINE