Mohd. Tamyes Abd. Wahid

Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, pe­laksanaan hukuman tersebut hanya dikendalikan umat Islam untuk pesalah beragama Islam.

Malah, katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga sudah memberi jaminan bahawa hukuman tersebut hanya untuk orang Islam di Kelantan.

“Hukuman sebat secara terbuka itu mengikut syariah dan tidak mempunyai masalah untuk dijalankan.

“Bukan Islam jangan jaga tepi kain orang. Jangan campur ta­ngan kerana ini (hukuman sebat) adalah untuk orang Islam. Jika mahu campur tangan, mereka perlu masuk Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Ing­geris mengenai DAP, MCA dan Gerakan yang mengkritik langkah kerajaan Pas Kelantan mahu me­laksanakan hukuman sebat di tempat terbuka selepas rang undang-undang mengenainya diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Ne­geri (DUN) kelmarin.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara me­luluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di tempat terbuka.

Mohd. Yusof Ahmad
Mohd. Yusof Ahmad

Enakmen tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (2015) sekiranya Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jena­yah) 1965 (RUU 355) diluluskan di Dewan Rakyat kelak.

Antara perkara pen­ting lain yang turut terkandung dalam pindaan enakmen tersebut ialah membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad pula berpendapat, hukuman syariah adalah lebih ringan jika dibandingkan dengan hukuman sivil.

Sehubungan itu, beliau berkata, bukan Islam tidak perlu bimbang kerana undang-undang syariah yang lebih rendah hukumannya itu langsung tidak melibatkan mereka.

“Hukuman sebatan yang di­kenakan dalam undang-undang sivil lebih berat kerana dalam si­vil, ada hukuman mati, Dalam hukuman syariah, tiada hukuman mati. Malah, mahkamah syariah hanya memerintahkan hukuman yang dibenarkan dalam Islam,” katanya.