Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, notis itu adalah untuk mengenal pasti motif perhimpunan bagi mengelak berlakunya aktiviti jenayah.

“Penganjur perlu memberi notis kepada Ketua Polis Daerah di mana lokasi perhimpunan berlangsung untuk dinilai terlebih dahulu.

“Kita tidak mahu perhimpunan yang dilakukan mengganggu ketenteraman awam dan sebab itu perlu mengikut Akta Perhimpunan Aman dengan memberi notis 10 hari sebelum perhimpunan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah di Ibu pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan, pihaknya melarang sama sekali himpunan dianjurkan di kawasan-kawasan yang mengganggu orang awam serta lalu lintas.

“Sebab itu notis perlu diserahkan kepada kita, kita perlu teliti sebelum membuat keputusan sama ada meluluskan atau tidak,” katanya.

Pada 21 Julai lalu, satu perhimpunan anjuran Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) diadakan di hadapan Kompleks Sogo di sini untuk membantah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Susulan itu, Presiden Gamis, Mohd Faizzuddin Zai dan timbalannya, Mohamad Shafiq Sharif hadir ke Ibu pejabat Polis Dang Wangi, di sini untuk dirakam keterangan pada Ahad lalu. - UTUSAN ONLINE