Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ada aspirasi yang disuarakan, antaranya menyentuh soal pendidikan dan alam sekitar tidak memerlukan masa yang terlalu panjang untuk dijadikan agenda kerajaan.

“Idea yang kita terima melalui proses Dialog TN50 ini terutama idea yang boleh dilaksanakan segera akan diumumkan dalam Bajet 2018 nanti.

“Ada perkara-perkara seperti soal pendidikan dan alam sekitar perlu dilaksanakan sekarang agar ia dapat memberi kesan kepada golongan muda dalam tempoh 30 tahun akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri pelancaran Kumpulan Masa Depan TN50 dan memperkenalkan logo TN50 di sini semalam.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Khairy, Kumpulan Masa Depan TN50 itu merupakan fasa kedua Dialog TN50 di mana ia merupakan proses untuk memperhalusi idea dan aspirasi yang diketengahkan melalui siri Dialog TN50 yang telah diadakan sebelum ini.

“Setakat ini, 84 orang belia dan 60 mentor yang terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat termasuk pelajar, ahli akademik, penggiat seni telah dilantik menyertai kumpulan ini.

“Sebanyak 33,000 aspirasi telah diterima dan kumpulan ini akan menganalisi aspirasi tersebut untuk menjadi input kepada penggubalan dokumen visi dan dasar TN50 kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat lima tema Kumpulan Masa Depan TN50 yang memfokuskan kepada elemen ekonomi dan pekerjaan, kehidupan dan kesejahteraan, tadbir urus, gaya hidup dan masyarakat.

“Mereka akan menjalankan sesi menterjemah aspirasi ini mulai Mei dan dijangka pada September ini TN50 akan memasuki fasa ketiga.

“Fasa ketiga ini merupakan fasa di mana kita akan menterjemah aspirasi tersebut kepada tindakan,” katanya.