Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekolah bernilai RM65.5 juta itu merupakan SBPI pertama di negeri ini dengan pembinaannya dijadual bermula hujung tahun ini dan siap dalam tempoh tiga tahun.

"Kementerian amat peka dan berusaha memenuhi keperluan untuk pembinaan sekolah berasrama penuh ini. Dengan terbinanya SBPI Tanah Merah, kita harap dapat mewujudkan peluang kepada pelajar berpotensi mendapat peluang pendidikan teratur dan sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Tanah Merah di Bechah Perahu, Manal 1, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, beliau mewakili rakyat Tanah Merah berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang meluluskan pembinaan SBPI baharu itu.

"Kewujudan SBPI ini membolehkan anak-anak Tanah Merah yang memperoleh keputusan cemerlang berpeluang menyambung pelajaran di sini tanpa perlu ke tempat lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE