Mohd. Syukur yang diibarat umpama Mowgli dalam iaitu watak dalam The Jungle Book berkata, dia bergaul dengan sebati dengan haiwan ternakan kerana telah biasa melakukannya sejak dari kecil lagi.

“Ada orang kata saya ada ilmu penunduk sedangkan tidak. Mungkin sebab saya dah biasa dengan mereka sejak kecil jadi mereka kenal tuan dan mendengar kata. Tetapi sebenarnya saya bukan saja akrab dengan kerbau, tetapi juga lembu, kambing dan angsa peliharaan bapa.

“Cuma untuk sesi fotografi, jurugambar cenderung memilih kerbau kerana jumlahnya yang banyak sehingga lebih 100 ekor,” katanya lapor Harian Metro yang menemubualnya di Kuala Terengganu selepas menjadi perhatian jurugambar seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dan India sejak 2016.

Semua ternakan yang akrab dengannya diberi nama seperti Awang, Wahab, Saat dan Boy dan haiwan ini boleh bergaul dengan Mohd Syukur seperti manusia, malah ada yang tidur bersamanya ketika kecil.

“Kalau kambing pula saya rapat dengan Saat. Selepas tiga hari dia lahir, ibunya mati dan saya menyusukannya setiap hari dan menjaganya sehingga bawa tidur bersama di atas rumah. Kerbau yang sangat rapat dengan saya dan sering menjadi teman ketika fotografi bernama Awang juga sudah mati,” katanya yang bercita-cita menjadi penternak.

Mohd Syukur berkata, selepas tular dan dikenali ramai dia menerima ucapan tahniah daripada guru dan rakan sekolahnya yang turut datang ke kandang untuk merakamkan gambar bersamanya dan kerbau berkenaan.

“Saya tidak bangga apabila menjadi tular, tetapi gembira sebab dulu ayah sering dihina kerana pekerjaannya sebagai penternak kerbau. Tetapi hari ini, saya seronok kerana dapat buat ayah bangga dan mengubah persepsi orang terhadap pekerjaan ayah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN ONLINE