Idris Saad, 47, berkata, mereka sebenarnya berkawan baik dan dia buntu mengapa rakan yang sering minum bersamanya di warung berdekatan bertindak sedemikian terhadap kedua-dua anaknya itu.

“Malah, dua hari sebelum kejadian dia (suspek) ada datang ke rumah untuk meminta maaf dengan saya, tapi saya tak pasti sebab apa dan saya ingat mungkin sebab dia selalu pinjam wang dan kami sering belanja dia minum.

“Saya tak fikir apa-apa yang pelik sebab dia pinjam duit pun bukan banyak, hanya puluh-puluh ringgit sahaja, mungkin dia rasa bersalah atau malu. Tapi, tiba-tiba dia serang keluarga saya sehingga nyawa dua anak saya melayang,” katanya ketika ditemui di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai di sini hari ini.

Dalam tragedi menyayat hati kira-kira pukul 11.45 malam kel­marin, Nurul Hanim dan Mo­hammad Hafiz sedang tidur di­percayai ditetak dan dikelar se­orang lelaki berusia 49 tahun yang juga kenalan bapa mereka.

Tambah Idris, dia reda de­ngan pemergian dua anaknya itu dan menyerahkan kepada Allah atas apa yang berlaku, namun pada masa sama berharap siasatan terhadap kes itu dilakukan secara menyeluruh.

Sementara itu, seorang rakan mereka, Omar Bakar, 53, yang me­nganggap suspek seperti adiknya berkata, lelaki itu pernah mengadu kepadanya bahawa dia tertekan selepas ditinggalkan isteri dan dua anaknya.

“Saya sering nasihatkan dia supaya bersabar dan malam ke­jadian pun dia ada datang jum­pa saya beritahu dia tertekan dan saya suruh dia ambil air sembahyang sebelum kami solat maghrib bersama,” katanya.

“Selepas itu saya tak tahu dia pergi mana sampailah anak saya telefon beritahu dia mengamuk lagi di rumah Idris dan membunuh kanak-kanak itu,” ujarnya yang kecewa dengan tindakan suspek.