Menurut Neelofa, 28, tidak pernah terdetik di hatinya untuk membuka hijab kerana kejayaan yang diperolehnya satu demi satu bermula dengan niat mur­ninya menutup aurat.

Dalam masa sama, Neelofa juga mahu mengubah persepsi masyarakat khususnya wanita bahawa memakai tudung bukan satu halangan untuk seseorang mengejar impian dan melaksa­nakan pelbagai aktiviti.

“Saya sangat sedih apabila menerima kecaman sebegitu. Ada yang menyuruh saya bukan sahaja tudung hanya kerana pemakaian turban semasa di Milan baru-baru ini. Apa yang mereka nampak semua negatif. Saya harap mereka buka mata dan melihat kejayaan berbanding perkara-perkara lain. Saya mahu mereka ikut jejak langkah ini.

“Sebelum saya bergelar hajah pun mereka mengecam. Mereka mahu saya mengikut kehendak dan pemikiran mereka. Saya mahu buktikan, bertudung tidak akan menghadkan kita,” katanya ketika ditemui dalam majlis pengumuman pelantikannya sebagai duta jenama kosmetik mewah antarabangsa, Lancome di sini hari ini.

Selain Lancome, Neelofa juga merupakan duta kepada beberapa jenama antarabangsa antaranya Swarovski dan Titan.

Sebelum ini, Neelofa menerima kecaman di media sosial apabila beliau tampil mengenakan turban sehingga menampakkan anak rambutnya semasa menghadiri malam gala Swarovski di Milan, baru-baru ini.

Malah, Neelofa turut menerima kecaman sama apabila dikatakan memakai seluar jeans koyak dilutut sehingga terlihat kulitnya.

Dalam pada itu, Neelofa juga mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukan kecaman dan kritikan tidak membina daripada netizen.

“Teruskan melangkah. Kadang-kadang kita tak boleh ambil kisah sangat. Kalau tidak, kita akan berdiri di satu tempat sahaja kerana takut.” katanya.

“Saya cukup kagum dengan sikap masyarakat luar yang tidak stereotaip dengan wanita berhijab. Paling penting adalah bagaimana kita membawa peribadi dan menjadi diri sendiri” katanya.