Itu pengakuan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai perubahan yang berlaku dalam media arus perdana di negara ini. Menurut beliau, mutu penulisan dan objektiviti laporan media juga semakin baik.

"Mungkin kerana mereka perlu bersaing, mungkin kerana pengamal media meraikan kebebasan yang diperolehi sekarang.

"Ruang media yang makin baik dan bebas ini adalah satu pencapaian besar untuk rakyat Malaysia, walaupun kesannya tidak dirasai serta merta," kata Rafizi dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Jelas beliau, media yang bebas akan membongkar penipuan menteri, melaporkan penganiayaan, menyiasat skandal dan lain-lain.

Menurut Rafizi, apabila terjun ke gelanggang reformasi tahun 1998 dahulu terdapat tiga perkara yang difikirkan menjadi matlamat utama yang perlu dicapai demi menjamin keadilan di negara.

Antaranya termasuk mewujudkan media yang adil, benar dan beramanah supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat dan telus, seterusnya dapat membuat keputusan yang baik untuk mereka dan keluarga.

"Dalam diam-diam, bagi saya, matlamat mewujudkan media yang adil, benar dan beramanah adalah yang paling mudah untuk dicapai dan paling baik prestasinya setakat ini," kata Rafizi.-UTUSAN ONLINE