Menurutnya, beliau amat sedih dan kecewa kerana diarahkan bercuti berikutan yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan, selain sayangkan FGV setelah le­bih 30 tahun bersama Felda.

“Sebagai anak peneroka yang telah menduduki tanah rancangan Felda selama lebih 44 tahun dan te­lah berkhidmat dengan Felda selama lebih 33 tahun, sudah tentulah saya mempunyai perasaan yang amat mendalam terhadap orga­nisasi ini.

“Saya sedih dan kecewa, tetapi apa yang boleh dilakukan. Saya amat sayangkan FGV dan mahu lihat kedudukan syarikat ini kembali pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Susulan daripada itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat keseluruhan operasi FGV termasuk sewaktu beliau masih belum menjadi Presiden dan CEO bagi merungkai sebarang permasalahan syarikat, termasuk isu yang mendorong pergolakan pentadbirannya ketika ini.

Menerusi laman Twitternya pula, Zakaria meluahkan pe­ra­saan dengan menyifatkan peristiwa yang terjadi sekarang sebagai tidak pernah berlaku dalam sejarah Felda dan syarikat itu.

“Berita hari ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Felda dan FGV. Kebenaran akan menjelma akhirnya. Kepada rakan sekerja FGV dan warga Felda, saya mohon maaf kerana terpaksa mening­galkan pejabat secara tiba-tiba, saya tidak berkesempatan bertemu anda semua,” katanya dalam catatannya.

Mengulas lanjut, Zakaria ber­kata, beliau sedia memberi kerjasama kepada SPRM untuk menyiasat FGV kerana melihat penglibatan suruhanjaya itu adalah langkah bagi menilai jika ada sebarang penyalahgunaan kuasa di dalam syarikat tersebut termasuk dirinya sendiri.

“Saya sedia bekerjasama de­ngan SPRM dan tidak takut untuk berdepan situasi ini kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan. Jika mahu siasat, macam-macam boleh disiasat dan penglibatan SPRM sendiri mungkin banyak persoalan boleh dirungkai dan diselesaikan,” katanya.

Pada masa sama, kemerosotan harga saham FGV kini yang mencecah paras terendah sejak Januari lalu, dan Zakaria meng­anggap hal itu adalah sesuatu yang dijangkakan akibat ketidaktentuan kepimpinan syarikat perladangan tersebut.

Beliau merupakan anak pene­roka pertama yang dilantik sebagai Presiden dan CEO Kumpulan FGV pada 1 April 2016 merupakan anak peneroka Felda Palong 1, Negeri Sembilan dan telah ber­khidmat dengan Kumpulan Felda sejak 1984.

Zakaria memiliki Ijazah Sains Sosial (Ekonomi) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan me­nyertai kursus perniagaan eksekutif di Fakulti Perniagaan Harvard, Amerika Syarikat (AS) dan Pembroke College, Universiti Cambridge, United Kingdom (UK).

Dalam perbincangan Lembaga Pengarah FGV pada 31 Mei lalu, Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah meminta Zakaria meletak jawatan dengan dakwaan melanggar kod tadbir urus korporat, apabila meneruskan amalan biasa terma pembayaran tanpa surat kredit yang mengakibatkan kelewatan pembayaran daripada syarikat Afghanistan, Safitex.