Manogaran berkata, masyarakat Orang Asli berhak menyokong mana-mana pihak walaupun diberikan elaun memandangkan kerajaan PH sendiri turut membayar elaun kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

“Jadi saya rasa kita juga tidak pilih kasih kepada masyarakat Orang Asli yang menerima elaun tetapi sokong UMNO, sama seperti penjawat awam menerima gaji daripada kerajaan dia boleh sokong UMNO, apa salahnya.

“Saya rasa mereka (masyarakat Orang Asli) tidak puas hati (dengan kenyataan Bob Manolan), saya pun kalau orang cakap saya terima elaun dari kerajaan tetapi sokong pembangkang dan datang pegawai beri ugutan, saya pun tidak suka,” katanya ketika ditemui selepas Ce­ramah Umum dan Majlis Memperkenalkan Calon PH di Bilik Gerakan PH Felda Sungai Koyan 3 di sini malam semalam.

Kelmarin Bob Manolan mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan memberi amaran kepada Tok Batin supaya menyokong calon PH dalam PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini atau berdepan risiko kehilangan jawatan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai calon BN daripada masyarakat Orang Asli yang mungkin mempengaruhi sokongan masyarakat itu, beliau berkata, sokongan semua pihak penting termasuklah daripada orang Melayu.

“Memang benar pengundi Orang Asli penting tetapi bukan penentu sebab kalau kata penentu, pengundi Melayu juga penentu sebab terdapat 34 peratus pengundi Melayu, manakala 22 peratus Orang Asli,” ujarnya.

Beliau juga berkata, peneroka Felda juga perlu memberikan sokongan kepada kerajaan PH bagi membela nasib mereka yang berhadapan dengan pelbagai masalah semasa pemerintahan BN sebelum ini.

Katanya, kerajaan PH yang mengambil berat masalah Felda akan memastikan semua peneroka menerima manfaat dan terbela.

“Walaupun mereka (peneroka) masih terikat dengan BN pada kali ini mereka bolehlah bagi sokongan kepada PH sebab dalam pemerintahan BN mereka menghadapi banyak masalah.

“Sekarang Felda jatuh di bawah kerajaan PH dan semestinya saya rasa menteri-menteri yang terlibat dengan Felda termasuk Perdana Menteri akan mengambil langkah-langkah perlu untuk membawa Felda ke satu tahap yang baik tanpa hutang dan sebagainya,” katanya.

habis.//