Itu reaksi calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor apabila ditanya mengenai kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu kempen Pakatan Harapan (PH).

Katanya, tidak timbul rasa tertekan kerana beliau hanya orang biasa yang akan meneruskan gerak kerja kempennya seperti biasa.

Ramli ditemui pemberita selepas bertemu para pengundi di Ringlet di sini hari ini.

Ramli turut berbual dengan calon Bebas, Wong Seng Yee yang berkempen di lokasi sama.

Ramli berkata, memasuki minggu kedua kempen, beliau akan memperkemaskan kempen di seluruh kawasan Parlimen Cameron Highlands.

Menurutnya, kempen dijalankan melalui program ramah mesra bersama orang ramai, bertemu dan menyapa mereka selain memahami permasalahan yang dihadapi masyarakat setempat.

“Kempen yang dijalankan jentera BN bersama parti-parti kompenen lain dilakukan secara bersih dan saya positif dengan reaksi penduduk terhadap saya setakat ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE