Nelayan itu, Rusli Khusmin, 42, berkata, rakaman pesawat tersebut bersama bacaan sistem pengesanan global (GPS) turut diperolehinya.

“Saya melihat sendiri pesawat itu bergerak dari kiri ke kanan seperti layang-layang yang patah, tiada bunyi, hanya asap hitam seperti berpunca daripada kebakaran sebelum terhempas ke dalam air,” katanya dalam sidang akhbar seperti dipetik Sinar Harian, di sini hari ini.

Rusli diterbangkan khas dari Indonesia oleh Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) untuk membuat pendedahan itu.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Presiden CASSA, Datuk Dr. Jacob George dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Rusli yang turut membuat akuan bersumpah hari ini berkata, selepas kejadian pada 8 Mac 2014 itu, dia ada meninjau perkembangan pesawat tersebut tetapi tidak dapat mengesan apa-apa.

“Namun saya hampa kerana selama dua hari meninjau perkembangannya, tiada apa-apa yang timbul dari laut, tiada serpihan, hanya asap hitam dan bau busuk asid,” katanya.

Segala data GPS dan bukti di tempat kejadian telah diserahkan kepada Jacob dan menurut Jacob, pihaknya akan menyerahkan bukti tersebut kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menunggu tindakan selanjutnya untuk menyelesaikan perkara itu.

Dalam kejadian pada lima tahun dahulu, pesawat MH370 membawa seramai 239 orang penumpang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum dilaporkan hilang.

Kehilangan pesawat tersebut menjadikan insiden berkenaan sebagai satu daripada misteri penerbangan terbesar dunia yang masih belum terungkai sehingga kini. - UTUSAN ONLINE