Menurut Dayang Nabellah Awang Astillah atau Bella, 23, dia tidak berhasrat untuk berpisah dengan suaminya walaupun terpaksa melalui detik getir ketika ini kerana tidak mahu anaknya hidup tidak berbapa jika terlalu menurutkan rasa marah.

Wanita itu seterusnya menafikan laporan yang mendakwa dia dibelasah oleh suaminya di pusat karaoke itu kelmarin.

Sebaliknya Bella berkata, dalam insiden yang berlaku di pusat karaoke itu, dia dan suaminya hanya bergelut untuk merampas telefon bimbit.

“Selama kami berkahwin, Aliff tidak pernah mengasari mahupun menjentik saya. Apa yang berlaku hanyalah pergelutan untuk merampas telefon bimbit. Saya akui kami memang tidak pernah menghadapi masalah sebesar ini dalam rumah tangga dan ini berpunca daripada orang ketiga,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Aliff, 26, yang berasal dari Singapura dilaporkan telah mencederakan isterinya di sebuah kelab karaoke di Taman Shamelin selepas Bella yang ditemani ibunya pergi ke pusat hiburan tersebut selepas mendapat tahu suaminya berada di bilik karaoke bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Afifah Nasir.

Kata Bella, dia bertindak `menyerbu’ pusat karaoke itu untuk mencari suaminya walaupun sedang berpantang anak sulung mereka demi menyelamatkan rumah tangganya dengan penyanyi dari seberang Tambak itu.

“Saya hanya berbuat apa yang dirasakan terbaik untuk rumah tangga. Hati saya begitu terluka. Dia dan pelakon wanita itu berlalu pergi begitu sahaja. Memang saya begitu terluka, namun saya yang melahirkan zuriatnya, saya tidak mahu anak saya hidup tidak berbapa,” katanya.

Bella menganggap apa yang berlaku itu sebagai sebahagian daripada dugaan berumah tangga.

“Dalam perkahwinan tidak semuanya manis sahaja. Ada kalanya datang dugaan seperti ini dan saya terima dan cuba lakukan apa yang termampu. Lagipun rumah tangga kami baru dibina. Saya harap ada jalan penyelesaian terbaik dalam hal ini. Selagi boleh dipertahankan, akan saya lakukan.

“Dia memang suami yang mengambil berat dan sayangkan saya,” katanya yang ketika dihubungi baru selesai menjalani pemeriksaan kesihatan anak­nya, Mohamad Ayden Adrean yang baru berusia 22 hari.

Tambah Bella, dia kasihankan Aliff kerana apa yang berlaku itu adalah disebabkan oleh orang ketiga.

“Kita bukan budak kecil dan saya rasa perkara ini boleh diselesaikan dengan baik. Bukan saya yang menularkan perkara ini. Saya sendiri terkejut dengan apa yang terjadi hingga ramai yang tahu,” jelasnya dalam nada kesal.