Malah harapan sama juga disuarakan oleh ibu anggota bomba tersebut, Asma Aziz, 52, yang berharap keadilan Allahyarham anaknya itu dapat segera ditegakkan.

Kata Mohd Kassim, dia tidak berapa mengetahui mengenai inkues yang ditubuhkan bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib namun menaruh harapan agar prosiding tersebut dapat membela nasib anaknya yang meninggal dunia sejak hampir dua bulan lalu itu.

“Sebagai ayah, tiada apa yang boleh diperjuangkan melainkan menuntut keadilan buat anak saya dan berharap inkues itu berjalan dengan lancar.” katanya di sini, hari ini.

Pada 18 Januari lalu, pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib telah didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor dan prosiding tersebut dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner.

Rofiah menetapkan inkues akan berlangsung selama 44 hari melibatkan tiga fasa prosiding dengan fasa pertama bermula pada 11 hingga 28 Februari, fasa kedua pada 1, 4, 5 dan 19 hingga 29 Mac manakala fasa ketiga pada 1 hingga 12 April.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November lalu sebelum meninggal dunia tidak lama kemudian ketika mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Asma berkata, setiap kali selepas solat, dia akan mendoakan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anaknya itu berjalan lancar demi memberi keadilan kepada keluarganya.

"Saya hanya mahu melihat pelaku yang memukul anak saya dijatuhi hukuman secepat mungkin.

“Sebagai seorang ibu, saya hanya mampu berdoa supaya prosiding inkues berkenaan berjalan lancar dan dalam keadaan sekarang hanya Allah yang dapat membantu saya," katanya.- UTUSAN ONLINE