Kata Fara sudah sampai masanya mereka di luar sana tahu yang dia sedikitpun tidak terusik dengan kata-kata kesat yang dilemparkan pengikutnya di laman sosial dan meminta mereka juga berhenti menghakimi dirinya.

"Ini adalah diri saya, memang saya berpakaian seksi tetapi saya tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit. Saya terima mereka yang cuba memberi nasihat dengan cara yang betul tetapi yang hanya meninggalkan kata-kata kecaman saya harap mereka berhenti sahaja.

"Soal pakaian ini antara saya dengan tuhan, tidak perlu mereka menghakimi saya," katanya ketika dihubungi Utusan Online, sebentar tadi.

Kata Fara atau nama penuhnya Norfaralinah Md Yunus,27, setakat ini juga dia turut menerima pesanan mesej oleh pengguna laman sosial yang mengecam cara pemakaianya.

"Saya tidak akan memadamkan kata-kata kecaman mereka atau block. Saya biarkan sahaja, jika mereka tidak suka, pilihan di tangan sendiri untuk tidak mengikuti saya.

"Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak akan berubah kerana mereka," katanya yang ketika ini masih berada di Langkawi, Kedah.

Sementara itu ditanya mengenai hubungan baiknya dengan Janna Nick yang sedikit renggang kini. Kata Fara dia dan Janna masih berkawan baik dan tidak pernah bergaduh.

"Netizen yang mengatakan kami bergaduh tetapi sebenarnya kami masih baik seperti biasa malah sering bertemu," katanya. - UTUSAN ONLINE