Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerajaan telah mengutus surat kepada semua ketua negara EU berhubung tindakan yang akan diambil oleh negara itu.

“Kerajaan bersetuju kita patut bertindak lebih agresif dalam menangani isu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini hari ini.

Parlimen Eropah dilaporkan sedang mengharamkan penggunaan minyak sawit untuk minyak bio atau ‘biofuel’, sementara rangkaian runcit British, Iceland dilaporkan sudah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penggunaan komoditi itu.

Malaysia adalah pengeluar utama dunia untuk minyak sawit. Malaysia dan Indonesia menghasilkan hampir 90 peratus minyak sawit dunia.

Industri minyak sawit negara berhadapan dengan kritikan meluas dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia dikaitkan dengan penebangan hutan dan seringkali dituduh menjadi punca jerebu di rantau berkenaan.

Malah, EU turut mencadangkan resolusi supaya menghentikan penggunaan minyak sayuran dalam biodiesel yang dihasilkan menerusi cara tidak mapan.

Malaysia berulangkali menegaskan sudah melaksanakan amalan terbaik termasuk penilaian kesan alam sekitar dalam mewujudkan dan mengendalikan ladang kelapa sawit serta melaksanakan konsep Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 yang menyeimbangkan pembangunan sosial dan ekonomi dengan alam sekitar.

Bagaimanapun, penggubal undang-undang di EU terus memberikan mesej antiminyak sawit. - UTUSAN ONLINE