Timbalan Menteri Ha­­­ji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Abdulfattah Suliman Mashat berkata, ini bagi mewujudkan suasana bersih di Arafah dan Mina ke­rana menjaga kebersihan merupakan sebahagian daripada tuntutan sebagai seorang Islam.

Sambil mengucapkan terima kasih atas sikap berkenaan kata­nya, beliau akan berbincang de­ngan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman tentang kaedah melaksanakan ‘konsep hijau’ itu pada masa depan.

“Saya pasti ini akan memberi manfaat kepada setiap jemaah, bukan kepada jemaah haji Malaysia sahaja,” katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia di sini.

Beliau berkata, konsep itu sesuai untuk dilaksanakan dan setiap jemaah perlu menjaga khemah ma­sing-masing serta kawasan di mana mereka tinggal kerana sifat itu perlu ada dalam diri setiap orang Islam.

Abdulfattah seterusnya me­mu­ji sikap jemaah yang menjaga kebersihan dan mahu sikap itu dikekalkan pada masa akan ­datang.

Menurutnya, setakat ini hanya Malaysia yang mengambil inisiatif membersihkan kawasan perkhemahan di Arafah dan Mina selepas tempoh masyair berakhir dan kerajaan Arab Saudi amat menghargai sikap berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji ke­rana membersihkan khemah di Mina dan Arafah selepas ditinggalkan.

“Ia merupakan sebahagian daripada tu­­gas kita sebagai seorang Islam,” katanya.

Beliau turut me­minta Tabung Haji memberikan gambar khemah-khemah Malaysia yang bersih kepadanya untuk dijadikan contoh kepada negara-negara lain selepas ini.

Dalam pada itu beliau berkata, musim haji 1439 Hijrah berakhir dengan jayanya dan kementerian berharap semua jemaah men­dapat pengalaman yang baik se­panjang mengerjakan ibadah ­ter­sebut.

Beliau memberitahu, banyak pe­nambahbaikan akan dilaksanakan menerusi Visi 2030 Arab Saudi terutama e-Hajj iaitu perjalanan haji dan umrah dilakukan secara elektronik sepenuhnya.

Menerusi Visi 2030 Arab Saudi, pengendalian jemaah umrah dan haji dijangka mencecah 4.5 juta orang menjelang tahun tersebut.

Mengenai Tren Ekspres Haramain, katanya, apabila ia beroperasi nanti jemaah dari seluruh dunia digalakkan menggunakan perkhidmatan tersebut ke Mekah dan Madinah kerana lebih cepat dan efisien.