Perdana Menteri berkata, Proton hilang status kereta nasional apabila dijual kepada syarikat China, iaitu Geely.

“Kereta nasional mesti dimiliki oleh Malaysia. Dahulu pada peringkat mula ada sedikit saham Mitsubishi. Sekarang sudah dijual kepada (syarikat) China, jadi ia (Proton) bukan kereta nasional lagi.

“Cita-cita kami ialah untuk memulakan satu lagi projek kereta nasional dengan kerjasama negara serantau,” katanya dalam sesi dialog Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Nikkei) di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Mengenai sidang kemuncak Amerika Syarikat dan Korea ­Utara yang sedang berlangsung di Singapura, Dr. Mahathir berkata, itu merupakan satu permulaan yang baik ke arah mewujudkan dunia yang bebas daripada senjata nuklear walaupun ada pihak yang mempertikaikan keikhlasan pemimpin Korea Utara menyertai sidang kemuncak itu.

Katanya, persetujuan pemim­pin Korea Utara itu untuk duduk di meja perundingan merupakan satu petanda positif kerana sebelum ini negara itu hanya bersikap mementingkan diri sendiri.

“Kita boleh ambil kesempatan daripada perubahan sikap Korea Utara ini,” katanya. – UTUSAN