Menu sate terbaharu itu diperkenalkan oleh jabatan berkenaan dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sate tuna merupakan satu produk galakan promosi hasil tuna dan bersesuaian dengan industri penangkapan tuna yang semakin berkembang di negara ini.

Kata beliau, permintaan ke atas sate tuna boleh mencecah sehingga 50,000 cucuk sebulan di seluruh negara menerusi penggunaan teknologi, usaha penambahbaikan resipi berse­suaian dengan citarasa tempatan dan promosi berterusan.

“Sate tuna ini dihasilkan 100 peratus daripada ikan Tuna Sirip Kuning (Yellowfin Tuna) yang lazat dan kaya dengan khasiat Omega 3. Kandungan vitamin yang tinggi serta rendah kalori berbanding sate ayam dan daging dikira sesuai kepada yang memen­tingkan kesihatan.

“Produk baharu ini juga secara tidak langsung menyokong industri huluan dan hiliran tuna. Semoga kita sama-sama mempromosikan produk tersebut kerana ini adalah produk Malaysia yang tidak dilakukan negara lain. Ia adalah suatu yang unik,” katanya dalam Majlis Pelancaran Promosi Sate Tuna di Satay Station Cawangan Ampang Waterfront di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan dan Pengurus Besar Satay Station Sdn. Bhd., Zulkarnain Abdullah.

Jelas Ahmad Shabery, kementerian turut menyediakan kemudahan pembiayaan di bawah Tekun Nasio­nal bagi memulakan perniagaan sate tuna menerusi skim TemanNita dan Teman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) kepada usahawan yang berminat.

“Peluang perniagaan baharu se­perti ini perlu direbut oleh pengusaha kerana pasarannya masih luas,” katanya.