Timbalan Perdana Menteri mem­beritahu, nilai-nilai seni dan metafizika seharusnya diletakkan dalam acuan yang mendorong manusia menuju ke arah untuk menjadi insan kamil atau sempurna.

Menurut beliau, pengiktirafan terhadap karya-karya agung di Nusantara dan rantau-rantau lain menunjukkan seni masih mendapat tempat dalam era kecanggihan sains dan teknologi.

“Sebagai insan yang kamil, kita harus melakukan keseimbangan dalam apa jua aspek yang kita ceburi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2015, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad; Ketua Bahagian Pemantauan dan Pe­nguatkuasaan Suruhanjaya Ko­munikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd. Yasin; Pengerusi Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan timbalannya, Datuk Othman Mohamad.

Sasterawan Negara yang hadir ialah Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Dalam majlis sama, Ahmad Zahid turut melancarkan Buku HSKU 2015 serta menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat kedua Hadiah Utama, Sri Rahayu Mohd. Yusop dan pemenang tempat ketiga Hadiah Utama, Nazri Hussein.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri mencadangkan su­paya karya-karya pemenang HSKU diketengahkan sebagai teks sastera wajib di sekolah.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, usa­ha itu boleh dilakukan melalui kerjasama antara Kumpulan Utusan dan Kementerian Pendidikan.

“Alangkah bagus kalau Kumpulan Utusan boleh menerbitkan karya-karya itu setiap tiga atau empat tahun supaya ramai penulis menerima honorarium,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, Kumpulan Utusan juga boleh mengambil inisiatif menerbitkan terjemahan karya-karya pemenang HSKU da­lam bahasa asing.

Menurut beliau, usaha itu hendaklah dilakukan oleh penterjemah yang memiliki kepakaran dalam mengekalkan nilai seni karya-karya terbabit.

“Kita boleh lihat karyawan dari negara-negara lain yang pada mulanya tidak tersohor namun setelah karya mereka diangkat ke peringkat antarabangsa, ia menjadi karya agung,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, syarikat korporat turut digalakkan menyumbang kepada usaha memartabatkan kegiatan sastera di negara ini melalui penajaan anugerah dan honorarium.

Beliau menambah, media sosial juga perlu dimanfaatkan bagi menyalurkan karya-karya sastera tempatan kepada khalayak yang lebih besar.