Menterinya, Datuk Salahuddin Ayob berkata, ketika ini tahap sara diri (ssl) negara telah mencapai 70 peratus dan sasaran pengeluaran tersebut adalah realistik.

“Kita sasarkan tempoh tiga hingga empat tahun lagi untuk mencapai 80 peratus pengeluaran beras tempatan. Sekarang, jelapang padi negara mampu mengeluarkan 70 peratus hasil.

“Namun, kita tidak akan menghentikan aktiviti import beras apabila sasaran itu dicapai kelak kerana kita masih memerlukan beras basmathi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Countdown 85 hari menjelang Pameran Pertanian, Holtikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang di sini hari ini.

MAHA 2018 bakal berlangsung selama 11 hari bermula 22 November hingga 2 Disember depan di Maeps dan masih mengekalkan tema sama, ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita.’

Selepas mendapt sambutan luar jangkaan pada MAHA 2016, penganjuran kali ini dijangka mampu menarik lebih 3.5 juta pengunjung menerusi pelbagai aktiviti termasuk 13 pavilion negeri, 501 juadah popular, jualan segar 11,111 produk dan banyak lagi.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan dan Pengarah Sekreteriat MAHA 2018, Azman Mohd. Saad.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, untuk mencapai 10 peratus lagi pengeluaran beras, negara menjalinkan kerjasama dan mendapatkan kepakaran teknologi dari beberapa negara luar.

“Pertanian kita semakin baik. Bagi mencapai 10 peratus lagi, kita membuka pintu kerjasama teknologi dengan Jepun, Taiwan dan China.

“Jika, dengan peningkatan teknologi ini kita secara tidak langsung dapat meningkatkan pengeluaran padi negara,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE