Guru Besarnya, Suraya Ghazali berkata, pihaknya melihat Tutor sebagai salah satu medium terbaharu untuk murid-muridnya membuat persediaan sebelum menduduki UPSR pada September ini.

“Pengisian maklumat akhbar Tutor keluaran Utusan Malaysia sangat lengkap kerana ia membantu menjadi bahan tambahan dalam proses pembelajaran.

“Selain pengisian yang bagus, persembahan halamannya menarik minat murid untuk membuat ulang kaji dan ruangan jawapan yang disediakan juga mudah diisi,” katanya selepas majlis pelancaran langganan Tutor di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, SK Taman Klang Jaya melanggan sebanyak 3,300 naskhah Tutor UPSR untuk murid yang akan menduduki peperiksaan itu.

Pada masa sama, Suraya menjelaskan, akhbar pendidikan itu juga akan digunakan dalam program awal pagi pendidikan sekolah berkenaan.

Ujarnya, program tersebut telah lama diwujudkan bermula pukul 7.20 hingga 7.40 pagi setiap Selasa, Rabu dan Khamis.

“Kita akan menggunakan Tutor sebagai bahan rujukan kerana pada awal pagi, pemikiran murid-murid masih lagi cergas.

“Selain itu, kita telah memaklumkan kepada guru supaya menghabiskan silibus jadual anjal terlebih dahulu sebelum menggunakan Tutor dalam pembelajaran sebagai bahan tambahan,” katanya.