Naib Canselor UUM, Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, misi yang dikendalikan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (Colgis) itu bagi menyalurkan sumbangan berterusan kepada etnik minoriti Islam Rohingya yang kini berhadapan dengan penghapusan kaum di wilayah Rakhine, Myanmar.

“Pihak UUM tidak meletakkan sasaran namun kita berharap dapat mengumpul sebanyak mungkin sumbangan orang ramai dari seluruh negeri ini bagi memastikan bantuan berterusan dapat diberikan kepada etnik Rohingya.

“Namun menerusi kerjasama yang diberikan kerajaan negeri, kita berharap dapat mengumpul sebanyak RM500,000 dalam tempoh tiga bulan ini.

“Selain menyasarkan sumba­ngan daripada warga UUM, kita juga berharap akan mendapat sumbangan daripada anak-anak syarikat berkaitan kerajaan ne­geri dan pihak swasta serta orang ramai bagi memastikan bantuan berterusan ini dapat diberikan kepada entik tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Misi Antarabangsa Rohingya UUM Colgis-Utusan yang disempurnakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Datuk Norsabrina Mohd. Noor di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan, Datuk Dr. Leong Yong Kong dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Menurut Mohamed Mustafa, kutipan terkumpul yang diperoleh daripada Misi Antarabangsa Rohingya UUM Colgis-Utusan itu akan disalurkan kepada Tabung Rohingya kendalian Kumpulan Utusan. 

Sementara itu, Norsabrina ber­kata, pihaknya menyambut baik usaha yang digerakkan mahasiswa UUM itu bagi membantu etnik minoriti Islam Rohingya yang ditindas di negara sendiri.

“Kerajaan negeri menyokong usaha yang mereka lakukan... kita juga akan memberi kerjasama supaya tabung ini akan sampai ke agensi-agensi dibawah kerajaan negeri dan pihak swasta.

“Kita sebenarnya sudah lama terlibat dalam memberi bantuan kepada etnik Rohingya ini dan sekarang kerajaan negeri bekerjasama pula dengan UUM bagi memberi bantuan berterusan kepada etnik berkenaan,” ujarnya.