Pasukan bahas SAS diwakili oleh Muhammad Zabir Azreen Redzal, 17, Muhamad Arief Shamsul Fahmie, 17 dan Muhammad Farees Ashraf Noh, 16.

Guru pembimbing, Aminah Mohd. Noor berkata, kejayaan pasukan bahas sekolah melangkah ke pusingan akhir merupakan penantian selama 26 tahun yang sudah lama ditunggu.

“Kali terakhir SAS memasuki peringkat akhir dan bergelar johan adalah pada 1993. Sudah pasti seluruh warga sekolah mengidam-idamkan piala tersebut dan memastikan berada dalam genggaman kami semula.

“Pasukan bahas SAS ada mendapatkan khidmat kejurulatihan daripada jurulatih rasmi, Muhammad Aris Farhan Mohd. Khuzir selain sokongan padu daripada pengetua sekolah, Salleh Ismail, Penolong Kanan Kokurikulum, Kamal Md. Rahim dan guru pembimbing lain, Mohd. Fadzil Abd. Rahman,” katanya.

Menurut Aminah, kejayaan menempa nama di peringkat akhir itu juga didorong atas faktor pengalaman anak didiknya menyertai pertandingan debat lain.

“Kejayaan mereka terserlah sewaktu menjuarai Pertandingan Debat Junior Sehebat 2015. Kemudian, mereka menyertai Cabaran Debat Zaaba 2018, Debat dan Pidato Yayasan Selangor 2018 dan Debat Perdana yang dianjurkan oleh Alumni Debat Malaysia (Adam) baru-baru ini.

“Selain itu juga, setiap tahun kami mengadakan program Bengkel Debat Ala-Parlimen bagi pelajar tingkatan satu untuk mencari bakat-bakat baharu,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE