Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, industri berkenaan kini mendapat permintaan tinggi khususnya pelancong dari China sekali gus berupaya melonjak lebih jauh pertumbuhan ekonomi negara dalam sektor pertanian.

Katanya, sehingga kini sarang burung walet yang menjadi makanan premium mampu mence­cah harga tinggi iaitu RM2,000 untuk berat kira-kira 90 gram.

“Kita ada sediakan kod untuk setiap sarang burung walet yang dijual. Maknanya segala maklumat terperinci seperti pengeluar dan tempat dikeluarkan boleh dikesan.

“Oleh itu, jika ada sesuatu yang memudaratkan berlaku maka maklumat mengenai pengeluar dapat dicari,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan kios sarang burung walet milik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sempena Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Nafas, Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, Malaysia kini menjadi pengeluar ketiga terbesar sarang burung walet di dunia selepas Indonesia dan Thailand.

Menurutnya, statistik pemba­ngunan industri menunjukkan pertambahan sarang burung walet daripada 50,000 kepada 63,000 buah sepanjang tempoh Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011 sehingga 2020,” katanya.

“Sarang burung walet milik Nafas mencapai standard tinggi. Ia kini turut menjadi pembaharuan kepada MAEPS selepas kita tempatkan kios di sana, lebih-lebih lagi jika pelancong dari China datang ke sini,” katanya.