SEDA dalam satu kenyataan memaklumkan, Sanjayan sebelum ini merupakan Pengarah Eksekutif di Pusat Tenaga ASEAN (ACE) berpangkalan di Jakarta, Indonesia sejak Januari 2015.

Beliau mempunyai 25 tahun pengalaman dalam industri, institusi pendidikan dan penyelidikan tempatan dan antarabangsa.

“Beliau memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan dengan pengalaman 15 tahun dalam industri tenaga dan 10 tahun sebagai penyelidik atau tenaga pengajar di Universiti Kyushu, Jepun dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif ACE, beliau pernah berkhidmat di Singapura sebagai Timbalan Pengarah dengan Agensi Sains dan Penyelidikan Teknologi dan Pengurus Negara sebuah syarikat penjanaan kuasa,” jelas kenyataan itu.

Menurut SEDA, Sanjayan memulakan karier beliau di Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bahagian penjanaan kuasa dan sebagai Pengurus Projek Kebangsaan bagi projek BioGen di bawah Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia.

Beliau juga pernah terlibat dalam beberapa penerbitan jurnal dan persidangan antarabangsa dalam bidang tenaga.

“Beliau juga menjadi ahli panel penyediaan garis panduan kecekapan tenaga termal di Malaysia. Minat beliau antaranya untuk terus terlibat dalam penyelidikan berkaitan polisi dan strategik pembangunan tenaga mampan di rantau ASEAN.

“SEDA yakin Sanjayan berupaya menerajui agenda kecekapan tenaga dan diperbaharui negara, serta mencapai sasaran 20 peratus tenaga diperbaharui dalam campuran tenaga negara pada 2025,” katanya.- UTUSAN ONLINE