Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mejar (B) Abu Bakar Mohammad berkata, syarikat itu bakal mengenakan tindakan tegas terhadap pemandu bas yang memandu secara berbahaya pada 18 Julai lalu selepas video berkenaan tular di media sosial.

“Syarikat mengambil maklum dan perhatian serius (terhadap kejadian ini). Tindakan tegas kepada pemandu yang terlibat akan diambil sebaik siasatan dijalankan dalam tempoh 24 jam.

“Pihak syarikat tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang dengan sengaja melanggar peraturan dan tidak menghormati keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Satu video memaparkan tindakan pemandu sebuah bas ekspres yang memandu secara melulu memotong kenderaan lain tular di media sosial baru-baru ini.

Pemandu bas berkenaan didakwa memotong kenderaan lain di garisan berkembar sebelum menghimpit empat kenderaan termasuk dua dari arah bertentangan sehinggakan mereka terpaksa mengelak ke tepi bagi menyelamatkan nyawa masing-masing.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, walaupun telah diberikan latihan, arahan, peringatan, makluman dan sebagainya, terdapat segelintir pemandu yang masih ingkar serta gagal mengikut garis panduan yang ditetapkan syarikat.

“Dalam kes seperti ini, kami terpaksa mengambil tindakan lebih drastik termasuk menamatkan tugas mereka.”

“Sani Express mengalu-alukan aduan orang ramai terhadap salahlaku pemandu dengan menghubungi talian aduan khas, 019-268 5050 atau 03-3344 4542, yang beroperasi selama 24 jam sehari,” katanya. - UTUSAN ONLINE